Sejarah Saluran Hypp_Sensasi

  • 2013: HyppSensasi dahulunya merupakan salah satu saluran video-on-demand (VOD) premium berbahasa Malaysia dengan harga langganan RM9 sebulan, bersama-sama dengan saluran VOD HyppVariasi dan HyppAnimasi.
  • 2014, 4 Ogos: HyppTV telah melancarkan saluran gaya hidup dan hiburan tempatannya yang pertama, yang diberi nama HyppSensasi. Saluran baru ini menayangkan program unik dan kandungan eksklusif berbahasa Malaysia dalam definisi tinggi (HD). Ia sudah boleh mula ditonton di saluran 116 di HyppTV. HyppSensasi memulakan langkah pertamanya melalui rancangan candawara (game show) pertama terbitan HyppTV iaitu Tu Dia!, selain dengan pengenalan lima drama bersiri tempatan yang disiarkan pertama dan eksklusif iaitu; Cahaya Di Hujung Nyawa, Permainan Cinta, Selipar Jepun Stiletto Merah, Cinta Si Egois, dan BIB.[1]
  • 2015, 10 Jun: HyppTV bekerjasama dengan syarikat penerbitan TV tempatan bagi memantapkan siaran saluran, selain memenuhi citarasa penonton setia HyppSensasi. Dengan itu HyppTV melancarkan dua buah drama bersiri terbaru, pertama dan eksklusif untuk siaran HyppSensasi – iaitu Puteri Gunung Ledang dan Jodoh Sebelah Pintu.[2]
  • 2015, 19 Ogos: HyppSensasi mempelbagaikan lagi genre hiburan seperti gaya hidup untuk tontonan seisi keluarga, dengan memperkenalkan program 1 Jam Makan terbitan usahasama HyppTV dan FriedChillies Food Network. Tayangan perdana rancangan gaya hidup pertama ini disiarkan secara eksklusif pada 16 Ogos 2015, setiap Ahad jam 9:30 malam.[3]
  • 2015, 8 September: Rancangan TV realiti pertama HyppSensasi dan di Malaysia bertemakan rock 'n roll terbitan KRU Studios, Rockers: Pentas Panas dilancarkan untuk mencari bakat nyanyian baharu dunia rock 'n roll tanah air di serata Malaysia.[4]
  • 2017, 22 Disember: HyppSensasi telah mencapai rekod 1 juta tontonan sejak pengenalan saluran pada 4 Ogos 2014. Pratonton percuma disediakan kepada semua pelanggan dan bukan pelanggan HyppTV dan HyppTV Everywhere bermula 22 Disember 2017 sehingga tarikh tamat siaran percuma yang akan diumumkan kelak.[5]
  • 2018, 15 Januari: Bagi meraikan pencapaian 1 juta penonton saluran HyppSensasi HD serta penjenamaan semula HyppTV kepada Unifi TV, rancangan candawara (game show) interaktif yang bersiaran secara langsung – pertama seumpamanya di Malaysia – Teka Tekan dilancarkan; yang mana membolehkan para pelanggan Unifi TV menjawab soalan melalui alat kawalan jauh, dan berpeluang memenangi hadiah wang tunai berjumlah RM20,000 setiap hari.[6]